سلامت داتڠ ك بلوڬ سكوله كبڠسأن حاج وان جعفر

Wednesday, 2 May 2012

Sejarah Sekolah

SEKOLAH KEBANGSAAN HAJI WAN JAAFAR

Sekolah ini pada asalnya di buka pada tahun 1895. “Sekolah Melayu Ijok” nama di beri sempena nama tempat tertubuhnya sekolah ini iaitu Kampung Masjid, Ijok. Tapak asal sekolah ini ialah Rumah Penghulu Ijok.

    Pada masa itu jumlah murid-muridnya ialah 34 orang dan terdiri daripada darjah satu dan dua sahaja. Gurunya ialah En Mohd Hussain, merangkap pelopor juga Guru Besar pertama yang menerajui pentadbiran sekolah ini dengan di bayar gaji RM8 sebulan.

    Pada tahun 1910, bangunan baru telah didirikan. Bangunannya ialah tiang kayu bulat, dindingnya separuh papan dan beratapkan rumbia. Keluasannya kira-kira 60 x 20 kaki persegi ( 18 meter x 6 meter ). Sebuah rumah guru juga telah dibina bagi penempatan guru-guru yang berkhidmat di situ.

    Pada tahun 1936, bangunan lama telah di robohkan kerana keadaannya terlalu uzur. Pada masa ini para pelajar belajar di bawah rumah Tuan Haji Mohd Shariff selama kira-kira 2 tahun. Bangunan baru telah siap dibina pada tahun 1938 dengan tapak bangunan seluas 105 x 25 kaki persegi ( 31.5 meter x 7.5 meter ). Sekolah ini berlantaikan simen, berdindingkan papan dan beratap genting. Turut di bina ialah 3 buah rumah guru. Pada masa ini Guru Besarnya ialah En Abdullah Ahmad b Samah. Beliau ialah seorang guru lepasan Maktab Melayu Matang.

    Pada tahun 1954, oleh kerana pertambahan murid dan ruang kelas yang tidak mencukupi sebuah bangunan telah didirikan secara gotong royong melalui hasil derma orang ramai. Bangunan ini berkeluasan 84 kaki x 20 kaki persegi ( 25 meter x 6 meter) yang berlantaikan simen dan berdinding separuh papan dan jaring.   Sekolah ini telah ditukar namanya kepada “Sekolah Kebangsaan Kg Masjid”. Kemudian pada tahun 1963 sebuah lagi bangunan sementara dibina.

    Pada tahun 1979, bangunan lama yang di bina pada tahun 1954 di robohkan dan digantikan dengan bangunan baru. Setelah dua tahun dalam pembinaan akhirnya bangunan baru setinggi 3 tingkat telah siap dibina dan mula digunakan pada 23 Jun 1981. Sempena penggunaan bangunan baru ini nama sekolah telah di tukar kepada “Sekolah Kebangsaan Haji Wan Jaafar” iaitu nama seorang tokoh bangsawan yang dikenali sebagai Dato’ Paduka Di Raja Haji Wan Jaafar, PJK. Setelah hampir tiga tahun pada tanggal 28 Julai 1984, YAB Menteri Besar Perak, Dato Seri Ramli Ngah Talib telah merasmikan bangunan baru ini.

    Pembangunan sekolah ini berterusan dengan penambahan bangunan baru dan naik taraf bangunan lama. Antaranya;-
1.    1989    Bangunan baru 4 bilik darjah dan stor.
2.    1997    Naik taraf bangunan Blok B dari segi struktur dan binaan.
3.    2003    Kuarters guru dalam kawasan sekolah.
4.    2005    Pondok Pengawal Keselamatan.
5.    2007    Bangunan Pendidikan Khas
6.    2008    Surau (sebelah pondok pengawal keselamatan).

    Pada pertengahan tahun 2011, kepimpinan sekolah diterajui oleh Guru Besarnya En Abdul Halim bin Abdul Malek dan dibantu oleh Penolong Kanan Pentadbiran En Zinuddin b Yahaya, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid En Dzulka’ain b Idris dan Penolong Kanan Kokurikulum En Md Razali bin Md Yusop serta seramai 32 staf akademik, 5 staf sokongan, 3 pekerja pembersihan swasta, 4 pengawal keselamatan swasta dan 285 pelajar.

5 comments: